Ditulis oleh Harith Syahmie Zulfikree
Hi semua! Saya Harith, pelajar tahun satu jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan (Kepujian) dari Malaysia! Dalam blog ini, saya akan berkongsi pengalaman menjalani latihan industri selama 2 bulan semasa cuti musim panas di Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor, Malaysia.
Latar belakang ringkas mengenai projek penyelidikan saya
Projek saya adalah tentang buah sukun (Artocarpus altilis), yang merupakan saudara terdekat bagi buah nangka (Artocarpus heterophyllus). Buah ini lazimnya tumbuh di bahagian Pasifik Selatan dan negara-negara tropika dan mudah didapati di negara saya Malaysia. Rasanya agak sama seperti keladi dan orang tempatan selalunya akan menggunakan buah ini untuk membuat kerepek atau digoreng (sedapnya!). Buah sukun bukan sahaja bebas gluten, malah kaya dengan serat, karbohidrat kompleks, mengandungi banyak fitokimia, serta memiliki indeks glisemik yang rendah – sesuai sebagai sumber makanan alternatif kepada inidividu yang mementingkan kesihatan!
Saya mengkaji sifat-sifat fisikokimia, sifat-sifat fitokimia, dan profil antioksidan serbuk buah sukun yang dikering sembur, dengan atau tanpa penambahan ejen penyalut seperti maltodekstrin dan gam Arabic. Dalam industri makanan, ejen penyalut adalah penting untuk mikroenkapsulasi, iaitu proses mengekalkan sebatian bioaktif, nutrien, dan sifat-sifat fizikal bagi mengelakkan degradasi produk makanan yang dipercepat disebabkan oleh keadaan persekitaran yang melampau.
Macam mana pelajar jurusan bioperubatan tiba-tiba boleh masuk bidang pemakanan dan nutrisi pula?
Ya, itulah soalan yang sering diajukan kepada saya semasa minggu pertama bekerja. Pelatih industri lain dan beberapa pegawai penyelidik bertanya, bagaimana saya boleh masuk bahagian ini. Ceritanya begini. Sementara menunggu keputusan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, setaraf dengan A-Levels), saya mengambil keputusan untuk menyertai satu seminar mengenai analisi mikrobiologi terhadap produk kosmetik dan barangan kelangkapan di rumah, hanya untuk suka-suka. Jadi, setiap peserta yang menyertai mana-mana program anjuran IBD akan serta merta mendapat status alumni, dan semestinya akses untuk menghubungi pegawai-pegawai penyelidik! Dengan kelebihan ini, saya telah membuat permohonan menjalani latihan industri di IBD sejurus menghabiskan peperiksaan akhir tahun satu. Saya segera mendapat maklum balas daripada Ts. Dr. Noorazwani Zainol (lebih mesra dipanggil Dr Wani), iaitu Ketua Bahagian Sains Pemakanan dan Nutraseutikal, dan juga merupakan penyelia saya. Saya hampir mendapat temoat di Bahagian Bioproses Mikrob (bahagian yang saya harapkan untuk dapat sebenarnya), tetapi nampaknya penyelia saya lebih cepat membalas permohonan saya!
Sebagai pelajar jurusan bioperubatan, saya tidak mempunyai begitu banyak pengetahuan tentang sains pemakanan dan nutraseutikal. Memandangkan menguruskan sampel-sampel biologi seperti sampel darah, protein dan DNA sudah menjadi rutin, menguruskan sampel makanan adalah sesuatu pengalaman baru buat saya. Saya sudah terbiasa membuang tabung uji selepas eksperimen, dan perkara ini membuat saya rasa agak janggal untuk mencuci dan mengguna semula tabung-tabung uji di sini kerana sampel makanan tidaklah membahayakan. Walau bagaimanapun, saya suka mencuba perkara baharu, dan pengalaman ini amat bermakna buat saya! Saya mungkin mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan protokol-protokol baharu, tetapi saya rasa amat berpuas hati dan bangga bila dapat melakukannya sendiri!
Apakah ujian-ujian atau eksperimen kegemaran kamu?
Saya sangat gemar melakukan analisis fotokimia seperti ujian untuk jumlah kandungan fenol dan aktiviti antioksidan, mungkin kerana saya sudah biasa melakukan pencairan bersiri untuk ujian spektrofotometri. Warna-warna reagen yang digunakan sangat menarik, lebih-lebih lagi reagen 1,1-difenil-2-pikrilhidrazil (DPPH) – warnanya ungu tetapi bertukar menjadi kuning jika antioksidan hadir dalam sampel! Melihat warna ungu beransur-ansur berubah kepada kuning dalam sampel yang semakin meningkat kepekatannya amatlah mengujakan!
Apakah antara cabaran yang dihadapi dan apa yang kamu belajar dariapadanya?
Antara cabarannya ialah terpaksa mengulangi ujian antioksidan beberapa kali kerana penyelia saya inginkan nilai pekali penentu yang tinggi bagi lengkung piawai saya. Namun, saya melihat cabaran ini sebagai satu pengalaman yang akan mempersiapkan diri untuk menyambung pengajian pascaijazah saya. Menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) merupakan satu perjalanan yang memerlukan banyak ketabahan, kesabaran dan minat yang mendalam. Mengulangi ekperimen yang gagal meruapakan perkara biasa dalam dunia penyelidikan yang akan saya tempuhi. Oleh itu, saya amat bersyukur kerana diberikan pengalaman dan pendedahan awal tentang ‘asam dan garam’ dalam dunia penyelidikan!
Boleh awak bawa kami jalan-jalan keliling IBD dan kampus UTM?
Mestilah boleh! Jom, ikut saya!
Selamat datang ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM)!
Inilah dia Institiut Pembangunan Bioproduk (IBD)! Perkenalkan penyelia saya, Dr Wani!
Antara makmal-makmal di IBD!
- Makmal Sains Pemakanan dan Nutraseutikal
- Makmal Kosmeseutikal dan Wangian
- Makmal Herba dan Fitokimia
Selamat datang ke bilik pengering semburan. Yang besar tu nampak hebat, kan?
Perkenalkan rakan-rakan pejabat saya yang peramah. Mereka terdiri daripada pelatih industri prasiswazah (seperti saya), pelajar pascasiswazah dan juga pegawai penyelidik!
Kesimpulannya, telah meraih pengalaman yang amat berharga dan menyeronokkan sepanjang tempoh menjalani latihan industri di sini!
Check out the English version here!